new

Monday, December 13, 2010

Dulu, Kini dan selamanya..... My Fav. Singer...

Penyanyi Kesukaan........

Solo itu bahagia - Anuar




MENJENGAH ke teluk rasa figura ternama Anuar Zain, sekali lagi pertanyaan tentang kesendirian tanpa suri di penghujung usia 40 tahun disuakan ke mukanya. Sedikit lelah yang enggan dijelmakan, pelantun yang masih berhantu dengan alunan Lelaki Ini teguh mendakap syukur.

Terima kasih Tuhan katanya kerana diperlengkapkan kehidupan bahagia beriring utuh karier. Teman dan keluarga juga berkelip indah, menemani siang malam seorang Anuar Zain.

Dia masih beraja tanpa permaisuri dan 2010 yang bakal ditinggalkan ini, langkahnya teratur tidak bergugah oleh terkilan atau sepi bersendirian yang masuk mencelah.

"Saya seorang yang sabar dan sangat bersyukur. Jika tiada jodoh sekali pun untuk saya, mungkin itulah aturan terbaiknya yang telah ditentukan kepada saya.

"Saya sendirian, solo tanpa teman hidup tetapi tidak bermakna saya dalam kesepian. Walaupun belum berkahwin dalam usia begini, saya ada ramai kawan yang berkualiti," pertahan Anuar meladeni hakikat hidup membujang.

Menambah resam orang bujang, Anuar juga tidak terdesak atau merintih jodoh tak sampai.

"Saya bukan orang yang suka berdrama sebegitu rupa. Saya menikmati hidup saya sepenuhnya dan tidak merosakkan jiwa dengan perkara sebegitu.

"Fokus sahaja dengan kerja dan kenapa harus menjadi mangsa perasaan kerana saya reda jodoh itu kerja Tuhan. Tapi bila saya kata saya reda, ada pula menggelarkan saya sebagai 'poyo'. Biarlah," ucapnya.

Berbaki kurang tiga minggu sebelum 2011 menyelinap ke posisi, Shahrul Anuar Zain yang bugar bersandar vokal lunak ada berharap. Biarlah 2011 mencurahkan hasil yang baik untuk semua. Kepada dirinya sendiri, dia tidak meletak sebarang visi khusus.

"Saya jenis sukar untuk bercakap tentang visi, lainlah kalau berkaitan dengan album atau lagu baru. Ada perkara tertentu yang datang tanpa dijangka. Tetapi biasalah, bila masuk tahun baru, orang akan cakap tentang penambahan usia atau peralihan hidup.

"Saya masih Anuar Zain yang dikenali umum, jika ada peralihan dari segi kematangan itu takrifan orang luar terhadap saya. Dalam soal kerja, ia masih sama," ucapnya sedar ada janji kepada peminat yang belum diselesaikan.


ANUAR ZAIN masih berdiri gah sebagai penyanyi lelaki solo terulung negara.


Janji

Bukan berjanji untuk menamatkan zaman bujang tetapi janji terhadap album yang masih berdepan proses pembikinan. Mulanya September kemudian terheret ke bulan Disember, belum ada tanda-tanda bahawa album baru yang kerap diperkatakannya menunjukkan tanda kelahiran.

"Sudah tertangguh lebih tiga bulan, saya sedar ramai yang merungut kenapa begitu lama. Bukan terlalu mahukan hasil yang sempurna tetapi saya mahukan kelainan.

"Sekarang ia dalam proses mixing. Semua lapan buah lagu telah siap, awal tahun depan mungkin album akan siap sepenuhnya," katanya yang menjual single terbaru, Ku Berjanji Karna Cinta sebagai pengubat rindu peminat setianya.

Kedatangan tahun baru juga memberi laluan kepada kerja yang telah ditumpahkan sepenuh hati sepanjang penghasilan lagu Sedetik Lebih akan membuahkan hasil.

Bukan sekadar lagu tema yang sering dinyanyikan oleh naskhah terdahulu, tetapi sentuhan indah Edry dan Yusri Abdul Halim untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa itu memberi makna kepuasan kepada Anuar.

Dirakamkan bersama 40 pemuzik daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), proses penghasilan lagu itu sahaja cukup sebagai satu kekaguman Anuar terhadap kreativiti dan kredibiliti trio tiga beradik KRU itu.

"Melodi lagu itu sangat bagus dan saya sukakan elemen yang menjadi signatur kepada Edry. Saya terima tawaran itu kerana mahukan suasana berkerja orang yang berbeza-beza, kerja dengan Edry serta pihak KRU. Itu semua penting untuk profil kerjaya saya.

Diberi kepercayaan menyanyikan dua versi lagu tema, Sedetik Lebih untuk versi bahasa Melayu dan The Memories dalam versi Inggeris, Anuar menambah:

"Untuk projek lagu tema itu, kami bersama-sama berbincang dan saya turut memberi input dari segi idea dan penyampaian, jadi pendengar boleh kenal stail saya dalam lagu berkenaan dan saya sukakan hasilnya," katanya dalam sesi fotografi yang disusun pihak KRU di Hotel Marriot Putrajaya, Khamis lalu.

Diusulkan satu kebarangkalian melihat kelibat Anuar dalam projek filem KRU Motion Pictures untuk masa akan datang, adik Ziana Zain itu pantas menggeleng kepala.


JODOH tidak sampai bukan satu masalah kepada Anuar yang bakal memasuki usia 41 tahun pada Februari 2011.


"Saya tak pandai berlakon dan tak adil untuk pelakon lain. Cukuplah, saya pernah mencuba berlakon tapi gagal. Ada artis lain boleh jadi penyanyi dan pelakon sekali gus, tapi bukan saya.

"Lakonan saya sangat 'keras'. Saya cuma tengok sekali sahaja filem yang saya lakonkan (Bintang Hati). Saya tak sanggup tengok, segan,' katanya yang pernah dipelawa pihak KRU untuk membintangi filem Magika sebelum ini.

Menolak kemungkinan ketibaan Sedetik Lagi untuk penayangan Hikayat Merong Mahawangsa sekitar Mac nanti bakal bertindih kelancaran promosi album terbaru yang direncanakan terzahir pada waktu yang sama, Anuar yakin terhadap strategi yang telah disusun.

Dalam santai pertemuan singkat itu, Anuar berkongsi pelbagai luahan termasuklah soal jaringan laman sosial Facebook mahupun Twitter yang sedang menjadi trend semasa, baik di kalangan artis mahupun masyarakat umumnya.

"Terus-terang saya katakan, saya tidak ada akaun peribadi Facebook atau Twitter. Ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggunakan kelebihan yang ada menerusi laman sosial berkenan.

"Untuk saya, saya sangat pentingkan privasi. Untuk apa saya ada laman sosial sedangkan saya sudah boleh bertemu ramai orang setiap masa. Peribadinya, saya melihat ada bahayanya jika teknologi itu diaplikasi secara melampau," katanya.


Tu lah ceta tentang Anuar yang ingin aku share..... baca lah yer.......

Salam dan ceria selalu,

Mummy Hanan